
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kaizad Heerjee berkata, ketika ini U Mobile mempunyai 1,000 pemancar dan penambahan itu nanti bakal menembusi 85 hingga 90 peratus populasi liputan penggunaan.
“Selaras meningkatkan lagi penguasaan pasaran, kami juga bekerjasama dengan penyedia telekomunikasi lain bagi meningkatkan struktur teknikal untuk mencapai 100 peratus liputan terpantas,” katanya selepas memeterai kerjasama strategik selama tiga tahun bersama ZTE, penyedia dan penyelesaian telekomunikasi dari China di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, kerjasama strategik ini juga diharap mampu meningkatkan tahap kelajuan jalur lebar sekali gus pegangan pasaran pengguna bagi perkhidmatan itu yang kini hanya satu peratus.
“Pegangan pasaran kami masih kecil dan kerana itulah kami berusaha menaik taraf kelajuan daripada 42Mbps kepada 84Mbps yang bakal direalisasikan 12 bulan akan datang,” katanya.
Kaizad berkata, perjanjian itu juga akan membantu U Mobile supaya lebih berdaya saing kerana pemasangan evolusi jangka panjang (LTE) bersama ZTE akan meningkatkan kelajuan sehingga 100Mbps dan bakal disempurnakan pertengahan tahun ini.
Beliau berkata, dengan kelajuan itu pengguna akan menikmati kelajuan yang 10 kali ganda lebih pantas berbanding perkhidmatan sedia ada.
U Mobile yang ketika ini mempunyai 1,000 pemancar membekalkan kelajuan pada kadar 42Mbps dan penggunaannya meluas di lembah Klang, Negeri Sembilan, Wilayah Utara dan Johor Bahru.